3 Resepi Hari Raya Mudah Dan Sedap!

Photo of author

By admin

Mari lihat 3 cadangan resepi hidangan Hari Raya Aidilfitri yang mudah dan pastinya sedap.

3 Resepi Hari Raya Mudah

Menyambut kedatangan Hari Raya, pastinya kita ingin menyediakan hidangan yang lazat dan memikat bagi tetamu yang datang beraya ke rumah kita.

Setiap kali tiba Hari Raya, mesti ada yang mati akal nak memikirkan menu yang ingin disediakan.Kena-kena lagi di Malaysia ni, selagi bulan Syawal belum berakhir selagi itulah rumah terbuka masih dibuka.

Bagi memudahkan persiapan dan menyediakan pelbagai pilihan untuk menyenangkan hati tetamu, Kami di PenaGraduan ingin berkongsi 3 himpunan resipi menu raya untuk rumah terbuka.

Anda Mungkin Berminat :

Ayam buttermilk

ayam buttermilk

Bahan-bahan:

  • 2 ketul besar ayam, bahagian dada
  • 1/2 tin susu cair
  • 3 ulas bawang putih, hiris halus
  • 1/2 biji bawang besar holland atau bawang besar biasa, potong dadu
  • 4 sudu besar mentega
  • 2 tangkai daun kari
  • 4 biji cili padi

Bahan-bahan untuk tepung salutan ayam:

  • 2-3 sudu besar tepung gandum
  • 1 sudu besar serbuk kari
  • 1 biji telur
  • Sedikit garam
  • Air secukupnya

Cara Penyediaan:

  1. Potong dadu isi ayam, bersihkan dan toskan airnya.
  2. Masukkan telur dan garam ke atas ayam dan gaulkan sebati.
  3. Masukkan tepung, serbuk kari dan sedikit air. Kacau supaya tepung pekat dan menyaluti ayam. Perap selama 30 minit atau lebih.
  4. Goreng ayam di dalam minyak panas sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
  5. Cara-cara untuk ayam buttermilk:
  6. Dalam kuali, panaskan butter sehingga cair dan tumis bawang putih, cili dan daun kari sehingga naik bau.
  7. Masukkan susu cair dan bawang besar. Kemudian masukkan ayam yang digoreng tadi.
  8. Masak sehingga kuah sedikit pekat. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.

Tip:

  • Kalau tak mahu pedas, jangan masukkan cili. Dan kalau anda mahu cara yang mudah dan cepat untuk penyediaan ayam goreng, boleh juga gunakan tepung goreng serbaguna yang sedia ada di pasaran.

Kredit : CHE NOM

Mee kari

mee kari

Bahan-Bahan :

  • 1 kg mee kuning
  • 500 gram ayam, potong kecil
  • 1 kg kerang, rebus dan ambil isi
  • 300 gram udang, buang kulit
  • 2 cawan air rebusan dari kulit udang yang dibuang
  • 10-15 biji bebola ikan (fish ball)
  • 3 keping kek ikan (fish cake)
  • 4 sudu besar rempah kari ayam, bancuh menjadi pes pekat
  • 2 keping asam gelugor
  • 1 biji kentang atau 1/2 biji keledek merah, rebus dan lecek halus
  • 2 cawan santan pekat
  • 2 cawan santan cair (boleh digantikan dengan santan kotak)

Bahan untuk rempah tumis :

  • 1 batang kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum cengkih
  • 5 biji buah pelaga
  • 2 tangkai daun kari

Bahan untuk kisar halus :

  • 6 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 1 batang serai, hiris nipis
  • 10 tangkai cili kering, rebus dan toskan air
  • 2 sudu besar udang kering, rendam sehingga lembut.

Bahan untuk hiasan:

  • 4 biji telur rebus, potong dua
  • 2 tangkai sawi, potong dan rebus
  • Bawang goreng
  • Limau kasturi, potong dua
  • Taugeh
  • Daun bawang
  • Cili merah
  • Tauhu kering goreng
  • *saya rebus udang dan letak sebagai hiasan istimewa

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan air sehingga mendidih dan celur mee kuning seketika. Angkat dan toskan.
  2. Panaskan minyak, masukkan bahan rempah tumis dan kacau sehingga naik bau. Masukkan pula bahan kisar halus bersama pes rempah kari.
  3. Kacau sehingga agak garing dan betul-betul pecah minyak.
  4. Masukkan ayam dan kacau seketika sehingga separuh masak kemudian tuang air rebusan udang dan santan cair. Masak kuah sehingga mendidih.
  5. Masukkan pula santan pekat, bebola ikan, kek ikan, udang, kerang, asam gelugor dan kentang (ataupun keledek) lecek. Kacau kuah semasa proses memasak supaya santan tidak pecah minyak.
  6. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  7. Hidangkankan mee bersama bahan hiasan dan tuang kuah secukupnya.

Tips:

  • Apabila kuah sudah siap, angkat keluar asam keping jika rasa kuah sudah masam untuk mengelakkan kuah terlebih masam.
  • Boleh juga gunakan santan kotak (1 kotak) dan campurkan sedikit air untuk kuah.

Kredit : CHE NOM

Roti Jala & Kari Ayam

roti jala ayam kari

Bahan-Bahan:

  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 cawan air
  • ½ cawan santan
  • 2 biji telur
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 sudu kecil Aji-no-moto
  • 2 sudu besar minyak masak

Cara Penyediaan:

  1. Kisarkan semua bahan bersama Aji-no-moto sehingga lumat dan sebati. Tapiskan bancuhan.
  2. Dengan menggunakan acuan roti jala, tuangkan di atas kuali leper membentuk jaring.
  3. Setelah masak, lipatkan satu bahagian ketengah, lipatkan kiri dan kanan untuk membentuk segi empat dan gulung membentuk silinder. Ulang untuk kesemua bancuhan.
  4. Sedia dihidang bersama kari ayam.

Bahan-Bahan Kari Ayam:

  • ½ cawan minyak masak
  • 4 sudu besar serbuk kari daging
  • 200 g isi ayam, dipotong kecil
  • 50 gm kentang, dipotong dadu kecil
  • 1 tangkai daun kari
  • 1 sudu besar asam jawa – dicampur dengan 2 cawan air
  • ½ cawan santan
  • 1 sudu besar Perencah Pati Ayam Tumix
  • 1 sudu kecil gula
  • 1 sudu kecil garam

Bahan-Bahan A: Dikisar Halus

  • 1 ½ biji bawang besar
  • 1 ulas bawang putih
  • 2 inci halia

Bahan-Bahan B:

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 2 biji buah pelaga
  • 3 kuntum cengkih

Cara Penyediaan:

  1. Tumiskan bahan-bahan (A) dan (B) hingga naik bau.
  2. Masukkan serbuk kari dan tumis sehingga pecah minyak.
  3. Masukkan isi ayam, kentang, daun kari dan air asam jawa. Biarkan sehingga kentang empuk.
  4. Masukkan santan dan biarkan mendidih. Perasakan dengan Perencah Pati Ayam Tumix, garam dan gula.

Kredit : Rasa.my